LARIAN JIWA
Berlari jauh meninggalkan kisah silam,
Berlari ke setiap penjuru dan setiap sudut,
Sentiasa bertemu dua aliran,
Aliran berpusat masuk dan keluar!
Walau berkecamuk sekali larianku,
Walau bertenaga dan penuh kelincahan,
Gagal juga aku masuk dan keluar…
Dalam deretan kaca dinding yang retak,
Tidak pernah ku sandarkan tubuh untuk seketika,
Biar penat Lelah menjerut tulang empat kerat,
Rela sahaja aku terlentang mendongak.
Rasa sangsi makin menjawab pertanyaan hati,
Apakah larianku akan bertemu penghujung?
Helai demi helai lembaran balapan,
Terkedu jua asyik ketemu sudut dan penjuru,
Tambahan pula berdua aliran,
Makin bisu langkah perkasa yang berderap…
Jika larianku berpusat,
Dengan mudah aku melintang lalu,
Memecahkan rentak larian lama,
Rentak larian baru yang membebaskan mengganti…
Tetapi terjadinya dugaan semi,
Pertarungan langkah ligatku membentak akal,
Apabila aku berhenti,
Dengan segera dinding kaca retak merapati.
Apakah bertemu sudut dan penjuru ialah pilihan?
Adakah terluka jiwa seandai bertemu kaca retak?
Bagaimana dengan pilihan melompat keluar?
Pernahkah menggali kedalam punca?
Diantara kaca retak dan pepenjuru bersudut,
Wujudnya ruang kecil memperbaiki langkah,
Ruang ini lazimnya untuk aku ubah halaju larian,
Mungkin ini peluangnya!
Perkiraan sarjana mula menderu masuk,
Berfikir laksana ilmuwan terbilang,
Aku merungkai kaedah dan tatacara,
Di setiap pusingan sudut dan penjuru diamati,
Tidak boleh silap dan tersalah..
Ruang itu amat kecil!
Ruang itu adalah harapan!
Ruang itu akan membebaskan larian tenat!
Walau berkata dengan diri sendiri,
Aku melaungkan semangat jiwa,
Bergema lantunan ibarat melepasi ratusan lembah!
Aku harus lakukan!
Aaarrrrggghhh!!!
Comments
Post a Comment